Friday, 17 October 2014

Saya Berjaya Hamil!

Saya Berjaya Hamil! Ya! Menjadi impian setiap pasangan yang sudah berumahtangga untuk memiliki zuriat sendiri, lebih-lebih lagi kalau ianya bunting pelamin! Salah seorang daripada mereka itu adalah kami. Alhamdulillah, 3 bulan selepas pernikahan kami, Allah telah mengizinkan kami untuk memiliki zuriat. 

Sebelum itu, kami pernah terfikir untuk merancang untuk tidak hamil dalam waktu terdekat. Kononnya kami hendak berbulan madu terlebih dahulu. Tapi akhirnya apabila puas diasak soalan bertubi-tubi, "Dah 2 bulan kahwin, tiada apa-apa berita gembira ke?" ataupun "Sudah ada isi?" atau pun "Bila hendak dapat anak?". Kami hanya mampu tersenyum. Pada saya, soalan ini agak sensitif untuk ditanyakan. Ini kerana ianya mengambil kira pelbagai aspek. Dalam kes kami, kami ada sebab tersendiri untuk merancang kehamilan di awal perkahwinan.

Banyak faktor di ambil kira. Antaranya:
  • Kami masih dalam fasa bulan madu.
  • Kewangan masih belum stabil.
  • Belum bersedia untuk menjadi ibu dan bapa.
Ini antara sebabnya. Tapi kalau tanya balik soalan ini pada saya setelah melahirkan Aniqah Delisya, saya akan katakan yang ianya berbaloi untuk hamil di awal perkahwinan kerana kini kami sangat bahagia bersama anugerah Allah S.W.T ini.

Alhamdulillah, Terima kasih Allah. Sungguh tidak terucap dengan kata-kata apabila diri disahkan hamil. Perasaan waktu tahu Ery hamil seperti minta di cubit! "Eh! betul ke ni doktor?". Anda hendak tahu kisahnya? Jom saya kongsikan.

Pada 10 Februari 2013, Ery dan suami ke Cameron Highlands. Ini merupakan percutian yang tidak dirancang ya! Disebabkan hari itu adalah Tahun Baru Cina, teramat payah untuk kami mendapatkan bilik hotel. Akhirnya Hotel Jasmine menjadi pilihan. Harga untuk satu bilik standard ialah RM300 semalam! Memang mahal. Jadi bermusafirlah kami disini. 

Balik dari Cameron Highlands, Ery demam seminggu. Ery sangat jarang demam, jadi bila sekali jatuh sakit, memang akan berlanjutan 1 hingga 2 minggu. Encik suami pun  tak sampai hati tengok isterinya melepek, di bawaknya berjumpa doktor. Semasa doktor tuliskan preskripsi ubat, tiba-tiba dia berhenti menulis dan spontan bertanya pada Ery.

Doktor: "Haid awak macam mana?"
Ery: "Okay doktor, cuma bulan ini terlambat sedikit, kenapa?"
Doktor: "Awak buat ujian air kencing sekarang ya", arah doktor sambil suakan botol kecil pada Ery.

Dalam hati Ery, "Kenapa pula ni?". Tapi jauh disudut hati, Ery dapat mengagak cuma tak mahu terlalu mengharap. Macam-macam perasaan ada. Seronok tapi risau pun ada!

Selepas serahkan botol kecil tu pada penjaga makmal, tak sampai 10 minit doktor tadi datang dengan membawa keputusan. "Oh! Patutlah awak demam. Saya kena tukar ubat awak tadi". "Hah! Kenapa doktor? Saya sakit apa?". Ery panik sekejap. Memang lawak! Kami tak pernah tahu macam mana nak buat ujian kehamilan sehingga doktor tadi menunjukkan keputusan UPT ku!! Yeay!! Dua garisan halus yang terang menandakan Ery hamil! Suamiku terdiam, tak kata apa-apa! Terkejut agaknya bakal jadi papa. Sampai dalam kereta pun dia tak berbunyi sepatah kata. Ery? Senyum sampai ke telinga!

 Alhamdulillah, saya disahkan hamil 7 minggu.
Itu pengalaman pertama kami bergelar ibubapa. Alhamdulillah. Kami bersyukur sangat dikurniakan zuriat secepat ini. Sebenarnya, tiada satu kerugian pun kalau dapat rezeki anak awal. Jangan risau pasal kewangan yang tidak stabil kerana setiap anak yang lahir  ke dunia membawa rezeki masing-masing. Jadi, bersangka baik dengan pemberian Allah. Insya Allah, kami akan cuba menjaga sebaik mungkin amanah yang Allah telah titipkan buat kami berdua.

Buat anda yang masih belum hamil, saya akan kongsikan pada anda tips untuk hamil pada entry yang seterusnya. Mudah-mudahan ianya bermanfaat dan dapat membantu anda semua dalam usaha memiliki zuriat. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah, dan yang buruk itu datang daripada kelemahan saya sendiri. Wallahu'alam.

Salam sayang,

Puan Ery Sufiariantiey

No comments: