Friday, 7 November 2014

Selamat Hari Jadi Yang Pertama Aniqah Delisya!

Selamat Hari Lahir Yang Pertama Anakku Aniqah Delisya! Maafkan mama kerana mengambil tempoh yang lama untuk menyiapkan titipan ini. Tiga hari nota ini terhenti-henti. Cepat benar kamu sedar mama tiada disisi. Saat ini, kamu tenang beradu di lengan papa. Jadi, inilah waktu mama berkongsi cerita.

Alhamdulillah, setahun yang lalu, 11.33 pagi adalah saat yang paling menggembirakan buat kami berdua. Kepenatan bertarung hampir 5 jam di bilik bersalin hilang begitu sahaja bila terdengar esak tangismu yang pertama. Syukur! Alhamdulillah. Mama dan papa betul-betul bersyukur melihat kamu sempurna dan selamat dilahirkan ke dunia. Selamat datang ke dunia wahai penghuni syurga! Setahun berlalu tanpa sesaat kamu tiada disisi. Bukan mudah untuk mama buat keputusan antara kerjaya dan keluarga. Namun, meninggalkanmu di bawah jagaan orang lain, adalah sesuatu yang cukup menggusarkan hati kecil mama. Mama redha demi mu anakku. Biarlah kamu membesar di hadapan mata mama dan papa kerana kami tak mahu menyesal untuk menikmati waktu membesar kamu yang cukup singkat ini.
Kamu di hari pertama di dunia!
Hari ini genap setahun kamu bersama kami. Tapi, mama dan papa minta maaf sangat-sangat pada kamu sayang. Kami tidak mampu untuk belikan kamu hadiah hari jadi yang mahal-mahal. Kek hari lahir kamu pun hanya sepotong kecil. Mama tahu, papa terkilan tak dapat berikan kemewahan pada kita berdua. Tak mengapakan sayang? Seharusnya kamu mesti berbangga punyai papa yang sangat penyayang dan sentiasa cuba berikan yang terbaik buat kamu. Dialah yang berusaha keras selama ini menyara keperluan kita tanpa menghiraukan keperluan dirinya sendiri. Dan yang paling mama cemburukan, berbanding mama, papa lebih menyayangi kamu! Hik3! sekadar gurauan sayang..

Untuk saat ini, biarlah mama coretkan nukilan hati sebagai hadiah hari lahir buat tatapan anakanda kelak. Kamu membesar dengan cukup pantas. Semakin hari semakin comel, cantik dan bijak! Dua minggu pertama kelahiran kamu mengajar kami erti kesabaran yang cukup tinggi. Tidur kami tak pernah lena dek esak tangismu, rutin harian berubah 360 darjah! Jika dahulu, hujung minggu mama dan papa akan menonton wayang bersama-sama, kini televisyen di rumah menjadi layar wayang kita semua. Jika dahulu, kami bersiar-siar di taman dan membeli belah tanpa had waktu, kini semuanya dipendekkan menjadi satu jam sahaja! Hebat penangan kamu wahai anakanda! Kenapa? Usah ditanya. Ibarat kata Busu Tayu, kamu "baby hygiene"! Pantang pampers basah, mintak ditukar. Pantang dibaringkan lama, minta diangkat. Pantang bersendirian, minta ditemankan. Segalanya kami turutkan dengan penuh kasih sayang.

Kamu 3 bulan!
Seusia 3 bulan kamu sudah mula meniarap dan berusaha menggerakkan badan ke depan belakang. Comel sangat! Gigih berusaha siang malam. Pantang dapat peluang baring, pasti kamu meniarapkan badan. Seusia 5 bulan, kamu sudah duduk dengan tegap tanpa bantuan kami! 6 bulan, tangan kecil kamu sudah mula berpaut pada perabot di rumah kita untuk membolehkan kamu belajar berjalan. Biarpun kerap jatuh kerana hilang keseimbangan badan, kamu tetap berusaha tanpa jemu.

16 Ogos 2014, ya! Itu tarikh lahir mama dan pada hari itulah gigi pertama kamu tumbuh! Mujur yang tumbuh gigi hadapan sebelah bawah dahulu. Pesan nenek, biar gigi yang di bawah tumbuh dahulu, kalau sebelah atas tumbuh dahulu, nanti anaknya cakap besar! Hehehe..sejauh mana kebenarannya, jangan di tanya mama ya. Tapi kamu boleh tanya Pak Ngah kamu!

Kamu pada 11 Mac 2014
9 bulan terus berlalu dan kamu mula mengorak langkah pertama pada 19 September 2014. Antara yakin dengan tidak kamu melangkah. Tidak lagi bertatih seperti sebelum ini. Laju! Bagus sayang! Teruskan langkahmu! Menjangkau usia 11 bulan, kamu punyai hobi baru. Ya! Kamu suka memanjat tempat-tempat tinggi dan menarik keluar semua buku mama dari rak buku. Mainan kamu memang penuh sebakul. Tak puas mainan depan mata, kamu keluarkan pula pakaian dari almari. Mama? Tak mampu nak kata apa-apa. Redha saja lah.

Awal Muharam yang lepas, genap kamu setahun. Hari ini kamu banyak merengek. Mama hilang punca. Tak tahu mana yang silap. Mungkin nak beralih bulan lagi. Mujur papa ada disisi. Seolah-olah kamu tahu setahun telah berlalu, mewujudkan ikatan yang terlalu kuat di antara kita. Mama sangat bersyukur kerana masih mampu menyusukan kamu dengan susu badan mama. Moga niat mama untuk menyusukan kamu 2 tahun pertama ini dipermudahkan Allah S.W.T. Insha Allah ya sayang!

Anakanda ku sayang.. Andai mama punyai masa yang cukup singkat bersamamu, mama mohon maaf atas semua salah silap mama pada kamu selama kita bersama. Mungkin pernah diluar kewarasan mama memarahi atau memukul kamu, janganlah kamu berdendam. Izinkan mama jadi sahabat dan teman yang paling akrab untuk dirimu dunia akhirat. Setiap doa mama, tak pernah sekalipun tercicir namamu. Mama sentiasa doakan kamu diberikan kesihatan tubuh badan yang baik, dijauhkan dari segala musibah, diberikan kejayaan hidup di dunia dan akhirat, diberikan akhlak yang terpuji, di berikan akal fikiran yang cerdas dan genius dan dilimpahkan rezeki yang banyak, berkat dan tidak pernah putus. Moga kita sentiasa berada di bawah lembayung rahmah dan redha Allah S.W.T.

Kelak, bila mama meninggalkanmu, jangan sesekali kamu tangisi ketiadaan mama. Sebaliknya, kirimkanlah Al-Fatihah dan doa yang sama seperti yang pernah mama kirikmkan untukmu sepanjang tubuh ini bernafas. Tolong mama jaga boyfriend kita ya sayang! Mama tinggalkan kamu dengan papa supaya kamu saling menjaga antara satu sama lain. Papa seorang yang pendiam. Tapi mama tahu kamu ada sentuhan yang cukup untuk buatkan papa tidak kesunyian. Lillahi Ta'ala! Andai mama diberikan peluang kedua untuk hidup, mama akan lakukan yang terbaik untuk melindungi kalian berdua sepenuh hati mama.
Si manja papa

Ini amanat mama yang paling penting! Seiring usia kamu yang semakin meningkat, jagalah tingkah laku kamu sentiasa agar sentiasa disenangi ramai. Berkawan biar seribu, berkasih biarlah satu. Jangan sesekali kamu palitkan arang di wajah orang tua mu. Andai tiada lagi bahu kami untuk kamu sandarkan keluh kesahmu, kamu masih punyai sejadah untuk sujud meminta dan mengadu kepadaNya. Mama dan papa izinkan kamu menuntut ilmu sebanyak yang mungkin, meredhakan kamu berjuang sebagai srikandi Islam dan kami sentiasa mendoakan kamu supaya sentiasa berada dibawah lindungan rahmat Allah S.W.T. Semoga kamu menjadi penyelamat kami di akhirat kelak. Insha Allah.

Terima kasih Ya Allah atas cinta yang tidak ternilai ini. Izinkan kami tunaikan amanahMu sebelum Kau menjemput kami kembali ke pangkuanMu. AmanahMu ini cukup besar ertinya buat kami berdua. Moga setiap keputusan yang kami ambil hari ini, memberi kebaikan yang menguntungkan buat permata hati kami, Aniqah Delisya binti Mohd Norrasyid kelak. Lindungilah kami Ya Allah dari sifat riak dan takabbur serta hasad dengki ain manusia. InshaAllah.

Ikhlas,

Puan Ery Sufiariantiey

Mamamu..

No comments: