Tuesday, 22 September 2015

#homemadebyrads_CHICKEN BROTH

As-salam KKRADS dearies..

Sementara menunggu chicken broth Mama Ya tengah mereneh atas dapur tu, bolehla Mama Ya tulis entry baru ya. Sebulan dua ni asyik terfikir je nak buatkan Aniqah Delisya chicken broth untuk dimakan dengan bubur atau sup bening. Tapi asal nak buat je dok fikir 2-3 kali. Kemalasan nak menunggu chicken broth tu siap memang dah sampai tahap dewa!

Tapi hati ibu mana yang tak terasa bila melihat anak sangat sukakan bubur air tangan ibu, tapi si ibu pula dengan malasnya menggunakan bahan-bahan segera yang mengandungi kandungan sodium dan pengawet yang tinggi. Perasaan serba salah itu lagi menebal apabila saya merasakan ianya tanggungjawab saya yang telah saya abaikan untuk berikan makanan terbaik buat dirinya sebab saya adalah surirumah tangga sepenuh masa. Maafkan mama ye sayang..

Bermula dari perasaan serba salah ini, saya mula mencari resepi demi resepi untuk memperbaiki khasiat pemakanan yang diambil oleh Aniqah Delisya. Saya mulakan dengan resepi Chicken Broth. Apa itu Chicken Broth (CB)? Ramai yang memanggilnya sebagai stok ayam. Jika anda tonton iklan kiub pati ayam K***, anda akan dapat lihat penyediaan ringkas CB ini. Berbeza dengan CB yang berada di pasaran, homemade CB ini mengambil masa 8-12 jam untuk direneh bagi mendapatkan khasiat terbaik hingga ke tulang sum-sum si ayam. Lamanya?!! Ya..memang lama! 

Segala khasiat yang terdapat dalam tulang temulang ayam dan sayur-sayuran akan terlarut ke dalam air renehan menghasilkan stok ayam yang berkualiti dan sedap. Lebih lama ia di reneh, lebih sedap chicken broth tersebut. Anda punyai 2 pilihan untuk menyediakan CB ini, samada memasukkan semua bahan ke dalam slow cooker dan set kepada auto mode dan biarkan semalaman ataupun reneh di atas api yang kecil di atas dapur untuk 8-12 jam. Disebabkan saya tidak mempunyai slow cooker, pilihan saya adalah mereneh di atas dapur untuk 8 jam. Fuh! Memang mencabar. Tidak hairanlah jika harganya mahal di pasaran.

Di sini saya kongsikan resepi Chicken Broth homemadebyrads ya! Bahan-bahannya adalah:

1 batang lobak merah
1@2 batang celery
Bahan tumis 4 sekawan dan sup bunjut adabi
4-5ulas bawang putih
1 biji bawang holland
Tulang ayam secukupnya
2sdm Apple Cider Vinegar

Caranya mudah. Potong semua bahan yang diperlukan. Masukkan air ke dalam periuk yang sudah dimasukkan bahan-bahan yang telah dipotong td. Tambahkan 2 sudu makan cuka apple dan renehkan di atas dapur yg berapi kecil selama 8-12 jam. 

Setelah selesai, sejukkan terlebih dahulu dan tapis segala hampas yang lain supaya lebih mudah untuk dituang ke dalam mangkuk yang lebih kecil. Ambil air stocknya sahaja, yang lain silakan buang.  

#homemadby rads_chicken broth
Mama Ya mula merenih CB pukul 3.45pm tadi. Kami mula lewat sedikit sbb ramai pula yang datang rumah untuk ambil order baby food mereka sebelum ini. Lepas ni dah tau cara nak buat, bolehla amik order niaga. Hik3!

Banyak lagi gambar untuk di kongsikan. Nanti saya update kemudian ya. Resepi dah pun saya kongsikan, apa kata anda cuba masakkan si comel anda chicken broth dengan menggunakan resepi tersebut? Selamat mencuba! Jangan lupa untuk kongsi di blog masing-masing dan tinggalkan jejak untuk saya buat kunjungan balas. Mama Ya nak sambung mereneh pula. Selamat malam semua.. As-salam.. 

Saturday, 19 September 2015

#homemadebyrads_ROTI SOSEJ BREADCRUMBS CHEESE

As-salam dan selamat malam semua. 

Mama Ya bersiaran lagi memeriahkan blog sendiri. Jangan jemu ya! Seharian mengemas, menggodek, mengumpul dan mendobi baju-baju basahan Aniqah yang tersimpan lama dalam stor. Since Mama Ya dah tahu jantina baby, jadi Papa dengan bersemangatnya menolong Mama Ya mendobi baju-baju lama Aniqah untuk di recycle pada si adik pula. Jimat belanja!

Punggah punya punggah, dobi punya dobi, Mama Ya tak perasan masa berlalu dengan pantas sekali. Perut dah berkeroncong minta di isi. Tengok jam. Allahu! Patutla lapar, dah pukul 11pagi, sarapan pun tak buat pagi ni. Tanpa membuang masa, Mama Ya keluarkan bahan-bahan yang boleh dijadikan late brunch kami. Asalkan ianya mudah, cepat dan mengenyangkan sudah cukup buat masa ni. Sambil mata dok pandang bahan-bahan, sambil otak ligat memikirkan resepi yang boleh di masak. Ting! Tekak tiba-tiba rasa nak makan roti sosej berkeju dan bersalut breadcrumbs yang rangup!

Ini adalah kali pertama Mama Ya buat roti sosej berkeju dan bersalut breadcrumbs untuk Papa sepanjang tempoh hampir 3 tahun perkahwinan kami. Terukkan Mama Ya? Bukan apa, Mama Ya tak tahu cara nak buat breadcrumbs tu sebenarnya. Alhamdulillah, segalanya mudah kini dengan breadcrumbs homemade yang sedap dan rangup. Mama Ya kongsikan di sini ya resepi roti sosej yang sedap ni.





Mama Ya dah taip siap-siap pada gambar ya. Yang mana kurang jelas, boleh klik pada gambar untuk melihat resepi . Cubalah! Hasilnya pasti tidak akan menghampakan anda sebagai peminat tegar roti sosej berkeju yang rangup diluar, enak di dalam ini! Sila kongsikan resepi ini bersama rakan taulan yang lain ya! Saya halalkan dunia akhirat. Selamat mencuba!

Salam sayang,

Mama Ya, Penang.

Friday, 18 September 2015

BABY NEST YANG GEBU GEBAS!

Baby Nest Oh Baby Nest!
Hi dearies..

Jumpa lagi Mama Ya hari ni ya. Waktu malam sunyi sepi ni la baru Mama Ya ada masa untuk berblogging. Walaupun sepatutnya saat ni Mama Ya sedap bergolek rehat dengan si kakak, tapi Mama Ya rasa teruja sangat nak kongsi tentang 'sarang bayi' atau nama omputeh nya baby nest dengan anda semua.

Pernah dengar tentang baby nest yang in-trend sekarang ni? Dengan corak yang berwarna warni, design fabrik yang comel-comel, rekaan kiut miut super gebus, semua ni berjaya menarik minat Mama Ya untuk mengetahui lebih lanjut tentang baby nest ini. Tak caya? Jom layan gambar baby nest gebus ni ya!

Baby nest yang comel dan gebu!

Cuba bayangkan si kecil anda bergolek kekenyangan dalam baby nest tu setelah di susukan? Comel kan! Mama Ya dah berangan-angan nak beli baby nest ni sebab:
  • Material kain 100% designer cotton - maksudnya selain dari design yang cantik, kainnya menyerap peluh, maka susahlah tilam nak berbau masam dengan bau peluh bayi
  • Isian kekabu kampung asli di dalamnya menggalakkan pengaliran udara yang lebih baik dan meningkatkan kegebuan baby nest yang comel ini.
  • Padding tilam tebal (2-3inci), buatkan bayi seronok berguling atasnya
  • Bumper di kiri kanan baby nest bertindak sebagai penghadang dari bayi tergolek jatuh keluar dari kawasan tilam dan boleh dijadikan bantal peluk juga ketika baby nest di buka sepenuhnya
  • Boleh digunakan both sides dan dijadikan tilam seperti tilam-tilam bayi yang terdapat di pasaran

Bayangkan kecomelan si bayi bergolek-golek atas baby nest ni ya!

Jika anda seorang peminat D.I.Y, banyak tutorial yang disediakan dalam website. Hanya perlu cari dan buat. Tapi bagi Mama Ya yang tengah menanti nak curi nafas, Mama Ya lebih suka beli sahaja hasil kraftangan kawan-kawan. Siapa lagi yang nak membantu ekonomi kawan-kawan peniaga kita kan? 

Dari tinjauan Mama Ya, harga pasaran sebuah baby nest ni majoritinya RM150 termasuk penghantaran. Agak berpatutan harganya memandangkan kegebuan baby nest ni juga menguji kesabaran crafter untuk menyumbat kekabu tu dengan penuh gigih dan berpenat jerih. Jadi sebagai persediaan untuk menyambut bayi baru, Mama Ya dah pun membuat tempahan baby nest gebu ni. Nanti Mama Ya kongsikan reviewnya ya! Tunggu..

MINGGU KE 25 KEHAMILAN KEDUA

As-salam dearies..

Sedar tak sedar kandungan Mama Ya dah nak masuk 7 bulan. Uiks! Pantas betul masa berlalu kan? Patutlah keterujaan Mama Ya nak sediakan barang-barang baby semakin membuak-buak! Hahahahaha! Ok, itu alasan terbaik untuk Mama Ya melakukan 'senaman mata' dan 'senaman poket'. Fuh! Saat ini ku impikan 2.6bilion berada di dalam akaun. Ting! Tak salah berimpian kan? Percuma saja!

Petang tadi Mama Ya ajak Papa scan baby di Klinik Dr Munirah Iskandar di Permatang Pauh. Kenapa Mama Ya pilih klinik ni? Sebenarnya, Mama Ya memang dah lama nak scan baby di klinik ni. Tapi memandangkan setiap kali Mama Ya ke klinik ni, mesti tutup. Hampa di situ. Kebetulan hari ni Papa half day, jadi tanpa di rancang dan rezeki Allah, berpeluanglah kami melakukan scan di sini. 

Proses pendaftaran pun sangat cepat, tak sampai 5minit dah dapat jumpa Doc. Kebetulan tiada seorang pesakit pun di klinik tersebut. Haruslah semuanya cepat kan! Alhamdulillah, baby memberikan kerjasama yang baik hari ini. Teka-teki kami terjawab bila doktor mengesahkan bayi kami sekali lagi bernama 'Aniqah'. Ya! Bayi kami perempuan lagi. Papa senyum meleret di situ. Mungkin Papa mengimpikan geng main bola sepak, tapi dapat geng main bola jaring pula. Nanti cuba lagi ya Papa. Sebelum saya lupa, kos untuk scan baby di sini adalah yang termurah setakat ini, hanya RM20 sahaja. Murah kan?

Moga Allah berikan kami kekuatan untuk menjaga amanah yang tidak ternilai ini. Amanah untuk menjaga seorang anak perempuan ini lebih besar tanggungjawabnya berbanding membesarkan seorang anak lelaki. Kita ikhtiarkan yang terbaik untuk anak-anak ya Papa. Selebihnya kita tawakkal dan berserah pada Allah untuk memudahkan segala urusan. Berbaki 3bulan lagi untuk kami menyambut anak syurga. Mudah-mudahan lahirnya dia ke dunia dalam keadaan sihat sempurna, cukup sifatnya, indah budi pekerti, berakhlak mulia serta membawa rezeki dan rahmat buat kami sekeluarga. InshaAllah..Syukran Ya RAB!

Salam sayang,

Mama Ya
Permatang Pauh, Penang.

Wednesday, 9 September 2015

ANEMIA DI KEHAMILAN KEDUA

Fuh! Lama saya tak update blog yang bersawang ni kawan-kawan. Maaf ya, sejak saya disahkan hamil kali ke dua ni, mood untuk online, blogwalking, blogging.. semuanya ke laut! Perubahan hormon barangkali. Berbeza dengan kehamilan yang pertama sebelum ini, badan saya lebih cepat letih dan mengalami alahan yang teruk seperti loya, muntah-muntah, pening yang menyebabkan migrain dan adakalanya mood swing. Salah satu puncanya adalah kerana saya tidak mengambil sebarang pil yang doktor berikan. Oh tidak! Bau pil-pil tu saja sudah cukup untuk buatkan saya pening kepala! 

Disebabkan kedegilan saya untuk tidak mengambil sebarang pil yang doktor berikan, baru-baru ni saya ke Klinik Desa untuk pemeriksaan bulanan. Rutin lawatan, nurse akan periksa kandungan gula dalam urine, tekanan darah, keadaan bayi dalam kandungan dan tak lupa juga pemeriksaan kandungan sel darah merah (Hemoglobin, Hb) dalam badan si ibu. Bahagian lain semuanya saya lulus dengan cemerlang kecuali bacaan Hb tu saya terpelecok sikit, 10.7g/dl sahaja walaupun setelah 2kali bacaan di ambil. Jadi, merasalah saya mendengar tazkirah ringkas dari cik puan nurse yang bertugas. 

Bacaan paras hemoglobin saya 
Sebenarnya bagus juga saya di bebel oleh nurse tersebut. Kenapa? Haa! Bebelan nurse tersebut telah menyebabkan saya melakukan sedikit kajian dan bacaan tentang bahaya Anemia terhadap ibu yang hamil. Selama ni saya tidak ambil pusing tentang anemia kerana beranggapan ianya suatu kemungkinan kecil dalam sesuatu kehamilan. Untuk entry kali ini, saya akan kongsikan serba sedikit maklumat yang saya perolehi hasil bacaan dan kajian yang saya lakukan ya. 

Apa itu Anemia?
************** 
Macam soalan SPM tak? ;) Anemia ini terjadi apabila terlalu sedikit sel darah merah (hemoglobin) di dalam tubuh. Hemoglobin ini berfungsi untuk mengangkut oksigen dari paru-paru ke seluruh badan. Jadi bila darah beroksigen mengalir dengan baik dan mencukupi, badan tidak akan cepat merasa letih dan lesu.

Apa penyebab Anemia?
*******************
Terdapat 4 perkara yang boleh menyebabkan anemia:
1) Kurangnya paras iron dalam badan
2) Thalassemia
3) Jangkitan cacing
4) Pendarahan

Bagaimana ibu hamil mendapat Anemia?
********************************* 
1) Perubahan dalam komposisi darah semasa hamil- Peningkatan plasma darah yang tidak seimbang dari 20% ke 40% sel darah merah.

2) Tidak cukup nutrisi- Kekurangan zat besi (iron) akan menyebabkan iron-deficiency anemia

3) Ketagihan alkohol- Ketagihan ini akan menyebabkan samada kekurangan asid folic atau Vitamin B12 yang akan menyebabkan anemia.

Tahukah anda? Haa! Macam rancangan uji minda pulak kan? Haip! Cepat! Fokus balik!

Seorang wanita hamil memerlukan 60mg makanan berion dan 5mg asid folic sekali sehari! Sekiranya keperluan zat besi dan asid folic ini tidak diperoleh melalui makanan harian, adalah PENTING bagi ibu-ibu hamil untuk mengambil pil Hematinik yang dibekalkan oleh pihak hospital. Apa tu pil Hematinik? Sekejap lagi saya kongsikan ya!

Kebiasaannya, pihak klinik akan mengambil bacaan paras Hb di awal kehamilan dan semasa kandungan berumur 24 hingga 28 minggu. Anemia hanya dikesan sekiranya bacaan paras hemoglobin dalam darah si ibu berada pada 4 tahap berbeza iaitu:

Kategori Anemia 
Dah tau simptom, mesti nak tau cara mengatasi anemia semasa hamil ni kan? Secara am nya, anemia ini adalah disebabkan kekurangan sel darah merah, jadi penyelesaian yang perlu di ambil adalah bagaimana cara untuk menambah sel darah merah tersebut? Baiklah, anemia boleh di atasi dengan 4 cara berikut, tetapi perlu di ingatkan, setiap cara ini mempunyai kesan sampingan sendiri. 

1) Tambah darah dengan pengambilan pil Hematinik

Kebiasaannya, wanita hamil dibekalkan all-in-one tablet yang mengandungi multivitamins, zat besi, kalsium dan asid folik. Jika anda ke klinik kerajaan, anda akan diberikan pil Hematinik yang terdiri daripada pil zat besi (ferrous fumarate), pil asid folik dan pil Vitamin B kompleks (B Co) untuk membantu pembentukan sel darah merah dan pil Vitamin C untuk membantu meningkatkan penyerapan zat besi.

Fakta penting!!
************
- Pil Hematinik membantu ibu hamil pulih dengan cepat dan janin membesar dengan sihat. Ia TIDAK menyebabkan saiz bayi besar. Berat lahir bayi yang normal adalah di antara 2.5-4.0 kg.

- Sila ambil pil hematinik dengan air kosong atau jus buah-buahan bagi menggalakkan penyerapan optimum.

- Elakkan mengambil pil hematinik bersama kopi, teh, minuman berkola, bercoklat dan bersusu kerana minuman ini mengandungi bahan yang mengganggu penyerapan zat besi.

Kesan sampingan pil Hematinik:
**************************
 Sesetengah ibu akan berasa loya, sembelit dan pening untuk sementara waktu.

2)Tambah darah dengan pengambilan suntikan zat besi (Parenteral Iron Administration,
PIA

PIA mampu mengelakkan kesan sampingan akibat pengambilan tablet zat besi dan responnya juga lebih pantas berbanding pengambilan iron tablet. 

Kesan sampingan pengambilan PIA:
***************************** 
Ibu hamil mungkin mengalami alahan (risk of anaphylaxis), walau bagaimanapun ianya jarang berlaku.

3) Tambah darah dengan proses pemindahan darah (Blood Transfusion)

Proses ini hanya dilakukan sekiranya jika ada kes-kes ekstrem seperti:
- severe anemia with symptoms
- acute bleeding
- severe anemia dalam kehamilan yang melebihi 36minggu

Kesan sampingan pemindahan darah (Blood Transfusion)
**********************************************
 Ibu hamil dikhuatiri terkena jangkitan HIV, hepatitis B dan C serta transfusion reactions.

4) Tambah darah dengan makan makanan kaya zat besi

Sumber makanan kaya zat besi adalah daripada sumber haiwan seperti daging, hati, ayam, limpa, kerang, sotong, udang dan ikan bilis

Sayur-sayuran hijau seperti pegaga, pucuk paku, kangkung, bayam,dan kailan

Buah-buahan seperti mangga, betik, jambu dan mangga


Sekiranya ibu hamil di sahkan mengalami anemia sepanjang kehamilan, ibu-ibu perlu bersedia untuk:
  1. Menghadiri sesi atenatal visit yg lebih kerap - penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi
  2. Minimumkan risiko kehamilan dengan mengambil makanan yang di cadangkan.
  3. Aim vaginal delivery- semasa melahirkan, anda akan diberikan ubat tahan sakit dan oksigen yang mencukupi. Kelahiran bayi anda juga mungkin dibantu dengan menggunakan forsep dan vacuum
  4. Jika dalam kes severe anemia, sebarang tekanan yang berlaku boleh menyebabkan kegagalan hati
  5. Jika berlaku pendarahan semasa melahirkan, wanita itu perlu di rawat sebagai pesakit severe anemia (pesakit yang kehilangan banyak darah)
  6. Setelah melahirkan, ibu-ibu perlu mengambil pil zat besi dan asid folik secara berterusan sekurang-kurangnya 3 bulan pengambilan.

Alhamdulillah, tamat jugak celoteh saya kali ini. Ok, saya nak rehat sekejap. Takut bacaan Hb makin menurun pula bila menghadap laptop 24 jam. Terima kasih semua yang sudi singgah ke blog saya. Moga perkongsian saya ini dapat memberikan manfaat pada anda semua. Untuk entry seterusnya saya akan kongsikan "penawar" anemia saya pula ya. As-salam dan moga kita berjumpa lagi!